Pemain sayap Manchester United, Amad Diallo mendedahkan beliau berpuasa kerana Allah s.w.t.
Ini selepas beliau ditanya oleh bekas penyerang The Red Devils, Fraizer Campbell tentang dirinya yang masih mampu bermain dalam keadaan berpuasa.
Diallo menjadi wira United apabila meledakkan gol kemenangan pada minit ke-121 dalam aksi suku akhir The FA Cup menentang Liverpool.
Bekas pemain sayap Atalanta itu mengakui ini bukan sesuatu yang mudah lebih-lebih lagi bila berpuasa.
Pada masa sama, Diallo melihat keyakinan sebagai kunci untuk memacu dirinya beraksi cemerlang bila diminta berbuat demikian oleh pengurus, Erik ten Hag.
“Ini bukan mudah apabila anda berpuasa. Anda perlu percaya kepada diri sendiri. Saya berpuasa kerana Tuhan.
“Saya gembira untuk berpuasa dan saya mahu bertarung untuk pasukan jika saya berada di atas padang. Syukur kepada Tuhan atas detik (gol ke-121) berkenaan,” katanya dalam satu video yang disiarkan Stadium Astro.
Diallo sudah merekodkan empat penampilan bersama United untuk musim 2023-2024 dan menjaringkan satu gol.