Jaguh perseorangan lelaki Malaysia, Lee Zii Jia mengesahkan beliau akan kembali beraksi pada Mac ini.
Sebelum ini, Zii Jia mengalami kecederaan ligamen ketika beraksi dalam saingan World Tour Finals (WTF) 2024 di Hangzhou, China.
Kecederaan tersebut memaksa pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik 2024 itu menarik diri daripada tiga kejohanan awal tahun 2025. Ini membolehkan Zii Jia fokus kepada proses pemulihan kecederaan.
Kini, bekas juara All England Open 2021 memaklumkan beliau semakin pulih daripada kecederaan yang dialaminya.
Beliau turut memberi bayangan saingan All England Open 2025 atau Orleans Masters 2025 sebagai kejohanan pertama yang akan disertainya.
“Setakat ini, saya boleh cakap saya masih lagi jalani proses pemulihan. Dan harapnya saya mungkin kembali pada Mac untuk Orleans Masters atau All England (Open),” katanya kepada wartawan Astro Arena, Zaki Zainal.
“Salah satu daripadanya mungkin kejohanan pertama saya pada tahun ini. Saya perlu sabar, itu yang saya selalu beritahu diri saya. Saya tak sabar kembali beraksi dalam perlawanan.”
Saingan Orleans Masters 2025 bakal berlangsung antara 4 hingga 9 Mac. Saingan All England Open 2025 pula akan berlangsung dari 11 hingga 16 Mac.
Dua kejohanan ini turut berpotensi sebagai penampilan pertama jurulatih baharu Zii Jia, Yeoh Kay Bin.