Ketua kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis, Datuk Hamidin Mohd. Amin berhasrat mengadakan perjumpaan dengan jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia.
Perjumpaan itu akan dirancang susulan keputusan anak jati Alor Setar, Kedah itu tidak menyertai program Road To Gold (RTG) baru-baru ini.
Bagaimanapun, Hamidin tidak menjelaskan sebab sebenar pertemuan itu diadakan jika ia dapat diatur.
“Saya tak pujuk, saya nak jumpa dia. Kalau dapat, saya nak bercakap dengan dia,” katanya bila ditanyakan hal tersebut oleh wartawan Astro Arena, Fina Nasrom untuk Nadi Arena.
Secara ringkas, RTG ialah program yang membantu merealisasikan potensi atlet untuk meraih pingat di Sukan Olimpik 2024.
Antara nama atlet yang tersenarai dalam program itu ialah Aniq Kasdan (angkat berat), Aaron Chia dan Soh Wooi Yik (badminton), Nur Dhabitah Sabri (terjun) dan Datuk Azizulhasni Awang (basikal trek).
Zii Jia kini fokus kepada persiapan untuk kejohanan China Masters 2023 yang bakal berlangsung pada 21 November ini selepas tersingkir di pusingan pertama Japan Masters 2023.
Pusingan pertama China Masters bakal menemukan juara Terbuka Artik 2023 itu dengan seorang lagi jaguh perseorangan negara, Ng Tze Yong.