Prestasi baik yang ditampilkan penjaga gol Terengganu FC, Rahadiazli Rahalim mendapat pujian jurulatih interim pasukan itu, Tengku Hazman Raja Hassan.
Ini kerana meskipun beliau lama tidak bermain akibat kecederaan di bahagian siku, Rahadiazli memanfaatkan sepenuhnya peluang beraksi dalam kesebelasan utama.
Tengku Hazman percaya minit permainan yang diraih penjaga gol berusia 24 tahun itu membantunya kembali menghampiri prestasi terbaik.
“Untuk prestasi Abe (Rahadiazli), saya tahu sebab beliau lama tidak bermain dan minit permainan pun tiada.
“Sekarang ini, saya bagi dia peluang untuk tunjukkan (prestasi di atas padang). Saya nak Abe yang saya kenal dulu dua tahun lepas.
“Alhamdulillah, dia bagi keyakinan kepada pasukan untuk kekalkan dia dalam perlawanan seterusnya,” katanya dalam sidang media pascaperlawanan.
Selepas hanya merekodkan satu penampilan pada September lalu, Rahadiazli diberi peluang beraksi sebagai penjaga gol utama dalam aksi menentang PDRM FC pada 10 Januari lalu.
Sejak itu, bekas penjaga gol skuad Malaysia B-23 itu membantu Terengganu tidak tewas dalam lima perlawanan. Ini termasuk aksi Terengganu dan Selangor yang berkesudahan 1-1.
Rahadiazli memastikan kedua-dua pasukan berkongsi satu mata dengan menafikan percubaan Chrigor Moraes pada minit akhir permainan.
Keputusan ini menyaksikan Terengganu kekal di tangga kelima Liga Super dengan 25 mata. Rahadiazli pula merekodkan lima aksi tanpa bolos dalam enam perlawanan yang disertainya musim ini.