Penyerang muda negara, Luqman Hakim Shamsudin menyatakan pendirian untuk tidak mahu pulang ke Malaysia.
Pemain berusia 22 tahun itu telah berkelana di Eropah sejak usianya 18 tahun dan menyertai kelab Belgium, JV Kortrijk.
Tonggak lincah itu pernah dipanggil beraksi bersama skuad kebangsaan termasuklah kembantu Malaysia B-23 dalam kempen Piala Asia 2024.
Menerusi perkongsian oleh bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) NFDP, Safirul Abu Bakar, beliau memberitahu bahawa peminat sememangnya teruja melihat pemain muda ini berkelana di luar negara.
“Kita mungkin sedikit teruja bagi dia main skuad utama padahal boleh bagi dia letak di (skuad) B-21 ke. Ini disebabkan dia main sekali untuk skuad B-21, dia terus jaringkan gol.
“Akan tetapi, dia dapat minit permainan yang kurang dengan skuad utama KV Kortrijk sebab (bukan mudah) beraksi di Belgium Pro League yang dianggap liga berkualiti (dan) telah hasilkan ramai pemain bertaraf dunia. Jadi, kita kena realistik sedikit.
Safirul bagaimanapun sedikit kecewa selepas Luqman tidak diberikan peluang lebih banyak bersama skuad B-23 KV Kortrijk.
“Kekesalan saya ialah kenapa kelab tak bagi Luqman Hakim lebih maju bersama pasukan bawah umur, jangan tolak sangat ke skuad utama.
Beliau juga menyatakan pendirian tegas untuk terus berkelana di luar negara dan tidak mahu pulang ke Malaysia lagi.
“Satu benda yang bagus, dia taknak balik. Dia tandatangani kontrak lima tahun di sana supaya dia tak pulang ke Malaysia.
“Dia juga berkata ‘Saya tak mahu balik, pinjamkan saya ke Jepun atau mana-mana’ kerana semangat dia. Tetapi proses dia tidak begitu memberangsangkan, itulah hakikatnya,” kata Safirul kepada Koppa TV.
Luqman kini bersaing hebat untuk merebut tempat di Jepun dengan kontraknya dikatakan berakhir hujung tahun ini.