Penyokong Selangor FC dilihat kecewa dengan pencapaian pasukan itu lebih-lebih lagi dengan janji yang diberi setiap musim termasuk musim 2025/26. Ini ditambah dengan pencapaian musuh tradisi, Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam 10 tahun lalu.
Hampir setiap tahun, antara janji pengurusan Selangor kepada penyokong ialah merapatkan jurang dengan JDT, mara lebih jauh ke peringkat antarabangsa dan meraih sekurang-kurangnya satu trofi.
Malangnya, itu tidak berlaku lebih-lebih lagi berdasarkan pencapaian kedua-dua pasukan itu dalam tempoh sama. Tempoh sedekad menyaksikan JDT bukan saja melakar pencapaian di peringkat domestik tetapi juga di peringkat Asia.
Tahun 2015 disifatkan tahun bersejarah buat Harimau Selatan. Ini kerana tahun itu menyaksikan JDT muncul juara Piala AFC dengan menewaskan FC Istiklol 1-0.
Gol tunggal legenda JDT, Leandro Velasquez memastikan Harimau Selatan satu-satunya pasukan Asia Tenggara yang pernah bergelar juara. Kuala Lumpur City FC (KL City FC) hampir mengulangi kejayaan JDT pada 2022 sebelum tewas di peringkat akhir.
Selain itu, JDT juga menjadi wakil Malaysia pertama berjaya layak ke suku akhir Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) pada edisi 2025/26. Harimau Selatan juga telah merekodkan pencapaian empat trofi untuk empat musim berturut-turut.
Ini sama sekali berbeza dengan Selangor. Tatkala JDT bergelar juara Piala AFC, Merah Kuning yang ketika itu dibimbing Mehmet Durakovic muncul juara Piala Malaysia musim 2015.
Sejak itu, Selangor gagal meraih sebarang trofi utama dalam tempoh 10 tahun meskipun itu antara janji pasukan kepada penyokong. Ini termasuk kekecewaan tewas kepada kelab gergasi Thailand, Buriram United di pentas final Shopee Cup baru-baru ini.
Selain itu, Selangor juga bergelut dengan prestasi tidak menentu dalam Liga Super dalam tempoh sama. Merah Kuning hanya berjaya berada dalam kelompok tiga pasukan terbaik dalam tiga musim terakhir.
Selepas meraih tempat kedua pada musim 2023 dan 2024/25, Selangor terpaksa berpuas hati di tempat ketiga. Ini selepas slot naib juara liga musim ini dirampas Kuching City FC.
Merah Kuning juga dilihat bergelut bila beraksi di Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) termasuk musim 2025/26. Musim ini menyaksikan Selangor menamatkan kempen di peringkat kumpulan tanpa sebarang kemenangan.
Lebih perit, Selangor hanya merekodkan satu mata dan dibolosi 15 kali dalam Kumpulan G. Hal ini juga mengakibatkan perubahan tampuk kejurulatihan sebanyak tiga kali iaitu Katsuhito Kinoshi, Christophe Gamel dan Kim Pan-gon.
Hal ini membuatkan penyokong Selangor mahu pengurusan pasukan itu mengkaji kegagalan demi kegagalan yang dialami pasukan itu saban musim.
Ini kerana pada hemat mereka, Merah Kuning memerlukan hala tuju jelas demi kepentingan jangka panjang pasukan. Resepi itu juga yang menjadi kunci kejayaan JDT setiap musim.
Atas sebab itu, penyokong Selangor berhak menuntut penjelasan pengurusan tentang kegagalan pasukan itu mencapai matlamat terutama pada musim ini. Ini kerana jika perkara ini dibiarkan berterusan, ini berpotensi melunturkan minat penyokong untuk sentiasa bersama Selangor pada musim hadapan.