Bek tengah Terengganu FC, Shahrul Nizam Ros Hasni akan terus kekal bersama pasukan itu selagi khidmatnya masih diperlukan.
Bek tengah berusia 26 tahun itu memberi jawapan tersebut apabila ditanya tentang kemungkinan beliau menyertai pasukan lain dalam Liga Malaysia (Liga M).
Sejak membuat kemunculan bersama Peteh pada 2021, Shahrul Nizam mula membina reputasi sebagai antara pemain pertahanan terbaik Liga M.
Justeru, apabila saingan Liga M menghampiri penghujung musim, normal apabila khabar angin tentang statusnya dalam pasukan timbul.
Walau bagaimanapun, Shahrul Nizam melihat beliau tidak akan meninggalkan Terengganu buat masa ini. Ini kerana beliau cukup selesa bersama pasukan itu.
“Selagi Terengganu mahukan saya (kekal bersama pasukan), saya sanggup berkorban di sini,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi.
Shahrul Nizam turut melihat faktor keluarga sebagai faktor yang mempengaruhi beliau untuk kekal bersama pasukan gergasi Pantai Timur itu.
“Saya rasa susah nak tinggalkan sini (Terengganu) sebab sudah selesa duduk di sini. Keluarga saya pun ada sesetengah yang sudah duduk di sini,” ujarnya.
“Lepas itu, kalau saya nak balik kampung pun dekat. Isteri saya pun orang sini. Jadi, suasana di sini sama saja.”
Sepanjang bersama Peteh, beliau sudah merekodkan 117 penampilan dalam semua kejohanan termasuk Shopee Cup.