Penjaga gol Cameroon, Andre Onana kembali ke pangkuan Manchester United selepas selesai tempoh pinjaman bersama kelab Turkiye, Trabzonspor.
Akhbar The Sun memaklumkan pelan bekas penjaga gol Inter Milan itu ialah menyertai sesi pramusim di bawah kendalian pengurus baharu, Michael Carrick.
Meskipun begitu, legenda The Red Devils itu dilihat tidak berminat mengekalkan Onana di Old Trafford. Ini ditambah dengan prestasi baik penjaga gol Repulik Czech, Radek Vittek bersama kelab Liga Kejohanan, Bristol City.
Vittek yang masih memiliki kontrak sehingga 2028 dijangka mencabar Senne Lammens sebagai penjaga gol utama United. Tom Heaton pula dijangka kekal sebagai penjaga gol ketiga pasukan.
Justeru, United merancang menjual Onana dan seorang lagi penjaga gol, Altay Bayindir. Ini kerana wang daripada hasil jualan pemain dapat digunakan untuk memantapkan lagi pasukan.
Trabzonspor berminat untuk mengekalkan Onana dengan tawaran perpindahan pinjaman buat kali kedua. Meskipun begitu, kelab senegara, Besiktas juga dilaporkan berminat mendapatkan beliau.
Mana-mana kelab yang berminat perlu memberi pakej kewangan yang menarik kepada Onana. Ini kerana beliau menerima gaji mingguan £120,000 (RM643,000).
Selain Onana dan Bayindir, United juga mahu menjual Marcus Rashford. Seperti Onana, Rashford juga kembali selepas tamat tempoh pinjaman bersama Barcelona.
Isu ini dijangka tidak menghalang United daripada berbelanja besar untuk tetingkap perpindahan musim 2026/27. Ini kerana kelab itu memiliki dana perpindahan sebanyak £250 juta (RM1.3 bilion).
United semakin hampir memuktamadkan perpindahan pemain tengah Atalanta dan Brazil, Ederson sebagai pembelian pertama mereka era Carrick.