Jodoh Sony Norde dan Kedah Darul Aman kini akhirnya tiba ke penghujungnya
Menerusi satu hantaran di media sosial, Kedah Darul Aman diwakili oleh pihak pengurusan tertinggi kelab mengucapkan terima kasih di atas sumbangan Norde sepanjang bersama pasukan.
“Pihak pemilik, ahli lembaga pengarah dan pengurusan Kedah Darul Aman FC ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Sony Norde atas segala sumbangan dan dedikasi yang diberikan sepanjang beliau bersama pasukan.”
“Kehadiran beliau bukan sahaja membawa impak besar di atas padang tetapi juga meninggalkan kenangan dan kesan yang amat bermakna kepada seluruh rakan sepasukan dan penyokong Sang Kenari.”
“Komitmen serta daya kepimpinan yang tinggi sebagai ketua pasukan sejak berada didalam pasukan sepanjang musim ini amatlah sukar dicari ganti,” umum Kedah di laman Facebook.
Segala jasa dan penglibatan oleh Norde dalam membantu Kedah di setiap perlawanan amat dihargai dan pihak kelab sempat mendoakan kejayaan buat pemain berusia 35 tahun itu di tempat baharu.
“Setiap jaringan gol yang tercipta dan bantuan yang diberikan sentiasa menjadi detik yang amat berharga yang akan diingati oleh seluruh pasukan dan penyokong Sang Kenari.”
“Seperti yang sering kami katakan, Once a Kedahan, Always a Kedahan,” tambah pihak kelab dalam kenyataan sama.
“Selamat maju jaya bersama pasukan baharu anda di atas persetujuan bersama bagi mengembangkan bakat di luar liga Malaysia.”
Masa depan bekas penyerang Terengganu ini kini menjadi tanda tanya dengan Norde sebelum ini dikaitkan dengan perpindahan ke sebuah kelab di Liga 1 Indonesia.
Perlawanan berdepan KL City di Cheras menjadi aksi terakhir Norde bersama skuad Kedah namun Sang Kenari terpaksa akur tumpas 4-1 sekaligus tersingkir dari Piala Malaysia.