Advertisement
Hadiah Perpisahan Istimewa Dari Sony Norde Buat Kedah
Piala Malaysia
MakanBola
Kedah Darul Aman FC

Penyerang Kedah Darul Aman, Sony Norde memberi hadiah perpisahan istimewa buat para penyokong setia Sang Kenari.

Sony mengetuai barisan Kedah untuk melayani kunjungan KL City di Stadium Darul Aman dalam aksi pertama pusingan 16 terbaik Piala Malaysia 2024/2025 pada Jumaat.

Dalam perlawanan tersebut, tuan rumah dikejutkan dengan jaringan jarak jauh oleh Ryan Lambert sebelum Sony Norde meledak dua jaringan di pertengahan babak pertama.

Pemain sayap Uzbekistan, Sukhrob Nurullaev memastikan kemenangan buat Kedah di laman sendiri meskipun KL City bangkit merapatkan kedudukan 3-2 dengan gol di lewat aksi.

Menurut wartawan Astro Arena, Fateen Ruzaiman, dua gol daripada Sony Norde di Stadium Darul Aman pada Jumaat dianggap hadiah perpisahan buat penyokong setia Sang Kenari.

Hal ini kerana perlawanan timbal balik di Stadium Cheras bakal menjadi aksi terakhir Sony bersama Kedah sebelum penyerang Haiti itu terbang berkelana ke negara jiran.

”Perlawanan kedua Piala Malaysia di Cheras bakal jadi aksi terakhir Sony Norde atas persetujuan bersama Kedah Darul Aman,” lapor Fateen di laman X.

“5 Disember nanti dia akan terbang ke sebuah kelab negara jiran. Dua gol Sony malam ini dia hadiahkan istimewa untuk penyokong Kedah,” tambah Fateen di dalam hantaran yang sama.

Sebelum ini, Sony dilaporkan bakal menyertai sebuah kelab di Liga 1 Indonesia setelah 4 tahun mewarnai saingan Liga Malaysia sejak 2020 bersama Melaka United, Terengganu dan Kedah.

Sepanjang beraksi dalam saingan Liga Malaysia, Sony telah merekodkan 100 penampilan, 22 jaringan dan 29 bantuan gol dengan pencapaian terbaik muncul naib juara Piala Malaysia 2023.