Selangor Atur Perancangan Jangka Masa Panjang
MakanBola
Selangor FC

Selangor FC mula mengatur perancangan jangka panjang bagi membantu pasukan itu terus memberi cabaran untuk tahun-tahun mendatang.

Salah satu daripadanya ialah mengekalkan khidmat ketua jurulatih dari Korea Selatan, Kim Pan-gon. Perkara ini turut disahkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Merah Kuning, Dr Johan Kamal Hamidon.

Johan memaklumkan bekas jurulatih Harimau Malaya itu bukan saja memiliki kontrak jangka panjang bersama Selangor.

Malah, Pan-gon dan barisan kejurulatihan pasukan itu sudah mula mengatur perancangan untuk musim akan datang.

“Kim Pan-gon dan pasukannya sudah mula merancang untuk musim hadapan. Kontraknya bersifat jangka masa panjang,” katanya seperti dilaporkan Stadium Astro.

Johan turut memaklumkan semua pemegang taruh Merah Kuning berpuas hati dengan prestasi pasukan sejak dibimbing oleh Pan-gon.

Ini ditambah dengan pasukan itu masih lagi berjuang merebut tempat kedua Liga Super dan memburu tiket final Shopee Cup.

“Kami percaya dengan keupayaan Kim Pan-gon. Semua pemegang taruh juga berpuas hati dengan prestasinya,” ujarnya.

“Jadi, buat kami ia adalah proses yang baik. Kami masih berjuang dalam Piala Shopee. Kami juga masih memiliki tiga perlawanan Liga Super dan mensasarkan mata maksimum.”

Selepas tersingkir di peringkat separuh akhir Piala Malaysia, fokus Selangor kini beralih kepada aksi Liga Super menentang Kelantan The Real Warriors FC (KTRW FC) pada Jumaat.

Merah Kuning memerlukan kemenangan agar dapat merampas semula tempat kedua daripada Kuching City FC.