Kuching City Ke Final Piala Malaysia Kali Pertama, Kalahkan Selangor
MakanBola
Selangor FC

Tiket final Piala Malaysia menjadi milik Kuching City FC apabila menewaskan Selangor FC dalam aksi separuh akhir kedua di Kuching.

Kedua-dua pasukan memburu kemenangan di Kuching untuk memburu tiket ke final. Ini selepas Selangor dan Kuching City terikat 1-1 dalam aksi separuh akhir pertama pada 5 April lalu.

Vitor Pernambuco memikul tugas sebagai peledak utama Selangor. Bekas pemain tengah Terengganu FC, Petrus Shitembi menjadi nadi kreatif tuan rumah.

Separuh masa pertama menyaksikan Kuching City menyerap tekanan pelawat menerusi Pernambuco, Faisal Halim, Mukhairi Ajmal dan Alvin Fortes.

Tatkala Merah Kuning buntu mencari gol pendahuluan, Kuching City membuka tirai jaringan menerusi Shitembi pada minit ke-30.

Bekas jeneral tengah Peteh itu melepaskan rembatan dari luar kotak penalti yang menewaskan Kalamullah Al-Hafiz.

Selangor berusaha mencari gol penyamaan tetapi keputusan 1-0 kekal sehingga rehat separuh masa.

Bersambung pada babak kedua, Selangor terus memberi tekanan ke arah benteng pertahanan The Cats untuk memburu gol penyamaan.

Merah Kuning kemudiannya bernasib malang apabila kapten mereka, Safuwan Baharudin dibuang padang pada minit ke-52. Ini selepas VAR mendapati Safuwan menghalang Ronald Ngah Wanja menjaringkan gol.

Situasi ini memaksa Selangor memasukkan Richmond Ankrah untuk memperkuatkan semula benteng mereka.

Pelawat makin derita apabila Mukhairi pula diarah keluar padang pada minit ke-63. Ini selepas VAR mengesan beliau melakukan terjahan keras ke atas pemain Kuching City.

Selangor berusaha mencari gol penyamaan tetapi keputusan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan. Keputusan ini menyaksikan Kuching City layak ke final buat kali pertama dalam sejarah pasukan itu.

Selangor kini mengalihkan fokus kepada pemburuan tempat kedua dengan menentang Kelantan The Real Warriors FC (KTRW FC) pada 24 April. Kuching City pula akan menentang DPMM FC sehari selepas itu.