Selangor ikat Kuching City saat akhir dalam aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia 2025-2026.
Ronald Ngah Wanja dan Gabriel Nistelrooy mengetuai barisan serangan The Cats untuk mengasak kubu lawan tatkala The Red Giants pula menaruh kepercayaan kepada ketangkasan Kalamullah Al-Hafiz di pintu gol.
Selangor bermula garang dengan melancarkan beberapa serangan ke arah gawang The Cats pada awal minit babak pertama.
Chrigor Moraes melepaskan satu percubaan berbahaya pada awal babak pertama namun rembatan tersebut sedikit tersasar dari gawang Kuching City.
Ronald Ngah Wanja hampir meletakkan The Cats berada di hadapan namun gerakan beliau berjaya dipatahkan oleh barisan pertahanan Selangor.
Memasuki minit ke-35 kedudukan masih terikat tanpa jaringan bagi kedua-dua pasukan meskipun Selangor tampak menguasai perlawanan separuh masa pertama.
Ronald Ngah Wanja membuka tirai jaringan pada minit ke-42 menerusi sepakan penalti yang tenang, selepas beliau dijatuhkan oleh pertahanan Selangor, Safuwan Baharudin, di dalam kawasan kotak penalti The Red Giants.
Aksi separuh masa pertama tamat dengan keputusan 0-1 memihak kepada pasukan pelawat, Kuching City.
Kedua-dua pasukan saling berbalas serangan berbahaya seawal babak kedua, namun jaringan tambahan masih gagal dihasilkan.
Memasuki babak kedua, Gergasi Merah memperlihatkan peningkatan intensiti permainan dalam usaha memburu gol penyamaan, disemarakkan lagi dengan sorakan padu ribuan penyokong setia di gelanggang sendiri.
Faisal Halim tanpa henti mengancam kubu lawan dengan beberapa percubaan berbahaya ke arah gawang yang dikawal Haziq Nadzli, namun ketangkasan penjaga gol itu sekali lagi wajar diberikan pujian.
Chrigor Moraes berjaya meledak gol penyamaan pada minit akhir aksi sekali gus mengamatkan Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya dengan ribuan sorakan penyokong The Red Giants.
Aksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya tamat dengan keputusan terikat 1-1 bagi kedua-dua pasukan.
Kedua-dua pasukan bakal bertemu semula dalam aksi kedua separuh akhir Piala Malaysia 2025-26 di Stadium Negeri, Kuching pada 18 April ini.