Selepas mengesahkan kemaraan ke Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2), Selangor FC tidak membuang masa mengenalpasti pemain baru untuk memperkuatkan pasukan.
Akaun Instagram @legioner_tvfk melaporkan kapten FC Nasaf, Umarbek Eshmurodov bakal menjadi awang import Asia yang memperkuat skuad Merah Kuning musim hadapan.
Eshmurodov dikatakan sudah bersetuju dengan tawaran kontrak dua tahun yang dikemukakan pengurusan Selangor.
Sekiranya gosip perpindahan ini benar, The Red Giants melihat bek tengah berusia 31 tahun itu sebagai pengganti bek tengah Jordan, Yazan Al-Arab.
Yazan yang beraksi untuk Selangor selama dua musim dilepaskan pengurusan Merah Kuning susulan tindakannya menendang pengadil pada September lalu.
Susulan itu, bek tengah berusia 27 tahun itu dikenakan penggantungan seumur hidup oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). Yazan kini mendapat talian hayat menerusi kelab barunya dari Iraq, Al-Shorta.
Eshmurodov hadir dengan reputasi sebagai pemenang piala. Beliau berjaya menggondol gelaran juara Uzbek Cup sebanyak empat kali dan Uzbek Super Cup (sekali).
Sekiranya gosip ini jadi realiti, Eshmurodov bakal menjadi pemain Uzbekistan keempat beraksi dalam Liga Super.
Beliau berpotensi menyertai duo Sri Pahang FC, Sherzod Fayziev dan Kuvondik Ruziev serta bek tengah Terengganu FC, Sardor Kulmatov.
Selangor berjaya meraih slot kelayakan ACL2 dengan bergelar naib juara Liga Super musim 2023. Kejayaan itu dicapai selepas mengatasi cabaran Kedah Darul Aman FC (KDA FC) baru-baru ini.