Pengurusan Selangor FC dilaporkan berbelanja besar bagi mendapatkan khidmat bekas jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon.
Perkara ini dikongsikan wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam tidak lama selepas jurulatih Korea Selatan itu diumumkan sebagai jurulatih Selangor.
Zulhelmi memaklumkan dengan pengesahan khabar tersebut, Pan-gon menjadi antara jurulatih termahal di Liga Malaysia (Liga M).
“Sah dan rasmi, Kim Pan-gon ke Selangor. Perpindahan ini difahamkan menjadikan KPG antara jurulatih termahal Liga Malaysia,” katanya di X.
Pelantikan ini menyaksikan Pan-gon menjadi jurulatih Korea Selatan keempat mewarnai Liga M. Beliau mengikut jejak tiga rakan senegara, Jang Jung, Choi Moon-sik dan Park Jae-hong.
Pengendali interim dari Perancis, Christophe Gamel kini menggalas peranan baharu sebagai Pengarah Teknikal Selangor yang baharu.
Bekas jurulatih Sri Pahang FC itu bertanggungjawab memantau proses pembangunan pemain dan jurulatih dari skuad B-23 hingga peringkat akar umbi.