Dua kelab gergasi Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL), Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor mengaut habuan yang lumayan.
Saingan MPFL 2024 telah melabuhkan tirainya pada Ahad yang lalu yang menyaksikan skuad JDT berjaya menjulang kejuaraan pertama setelah menewaskan Gombak TOT Sabtu lalu.
Tiga gol masing-masing daripada Ridzwan Bakri, Saad Sani dan Abu Haniffa berjaya memastikan kemenangan ke-13 buat Harimau Selatan untuk muncul juara dengan 39 mata.
Manakala, skuad futsal Selangor turut menutup kempen MPFL dengan tiga mata dan berhasil mengumpul 33 mata setelah berjuang dalam 14 perlawanan untuk bergelar naib juara.
Hasil kejayaan ini, JDT dan Selangor masing-masing telah menerima ganjaran wang tunai lima angka dari Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
JDT meraih hadiah wang tunai bernilai RM50,000 selaku juara yang disampaikan oleh Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Haji Rosmadi Ismail di Stadium Pasir Gudang.
Selaku naib juara MPFL, The Red Giants berjaya membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM30,000 yang diterima setelah aksi terakhir liga menentang Sabah di Shah Alam pada Ahad.
Selepas ini, 8 pasukan terbaik iaitu enam pasukan teratas MPFL Divisyen 1 bersama 2 pemenang perlawanan playoff akan layak ke Malaysia Futsal Cup (MFC) 2024 yang bakal bermula September ini.