Jurulatih Selangor, Kim Pan-gon memiliki 3 Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang dikekalkan oleh pihak pengurusan menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Dr Johan Kamal.
Sentuhan ‘magis’ Kim Pan-gon tampak memberikan impak segera buat Selangor selepas The Red Giants masih belum kalah dalam 7 aksi berturut-turut sejak dilatih oleh jurulatih dari Korea itu.
5 kemenangan dan dua keputusan seri berjaya direkodkan oleh Selangor setakat ini selain kemaraan ke separuh akhir Shopee Cup membuatkan Kim Pan-gon mula memperoleh kepercayaan penyokong.
Walaupun hadir ke Selangor pada pertengahan musim, KPI yang ditetapkan oleh pihak pengurusan buat Kim Pan-gon masih lagi sama seperti yang diumumkan di awal musim ini.
”Sasaran kami adalah layak ke separuh akhir ACC Shopee Cup, kedudukan ke-2 Liga Super dan (mara) ke final Piala Malaysia. Ini adalah sasaran kami dari awal musim,” ujar Dr Johan Kamal.
”Ini apa dibincangkan dan semasa perbincangan dengan Kim Pan-gon pun beliau selesa (dengan KPI ini), beliau menerima cabaran dan ini apa yang dia nak bawa.”
”Beliau bukan datang ke Malaysia sekadar untuk pencapaian sederhana,” tambah Dr Johan Kamal semasa ditemui setelah aksi bertemu BG Pathum semalam.
Kata beliau lagi, Kim Pan-gon seorang jurulatih yang sangat bercita-cita tinggi dan bersedia untuk menyahut cabaran di Selangor sekaligus menjadikan KPI yang ditetapkan adalah relevan buat masa ini.
“Kita sudah lama mengenali Kim Pan-gon di Malaysia. Beliau seorang yang sangat bercita-cita tinggi dan miliki standard yang amat tinggi.”
“Persetujuannya untuk menyertai Selangor FC juga kerana beliau tahu kelab ini memiliki cita-cita besar dan komitmen untuk memberikan yang terbaik dalam setiap pertandingan.”
“Itulah sebabnya Kim Pan-gon memilih Selangor, dan itulah juga sasaran kami untuk musim ini.”
Tugasan seterusnya buat Kim Pan-gon dan Selangor adalah aksi suku akhir pertama Piala Malaysia 2025-2026 bertemu Negeri Sembilan di Paroi pada Ahad, 8 Februari hadapan.