Pengurusan Selangor FC sedia menggunakan saluran undang-undang demi mendapatkan keadilan buat Faisal Halim.
Perkara ini dinyatakan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Belia, Sukan dan Keusahawanan Negeri, Najwan Halimi dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor baru-baru ini.
Beliau memaklumkan pengurusan Merah Kuning sudah melantik peguam untuk memantau perkembangan kes pemain sayap berusia 26 tahun itu.
“Tindakan susulan berkaitan dengan kes terbabit, kita memang serahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa.
“Tetapi, pada masa sama kita tidak tolak keperluan untuk pihak peguam dan pengurusan Selangor FC mengambil tindakan sewajarnya di peringkat lebih tinggi, sekiranya tidak ada apa-apa keputusan daripada siasatan dan hasil siasatan sedang dijalankan oleh pihak berkuasa,” katanya seperti yang dilaporkan Astro Awani.
Najwan menjawab soalan yang dikemukakan Afif Bahardin (PN-Medan) berkenaan tindakan kerajaan negeri Selangor seandainya kes Faisal terus berlarutan.
Siasatan kes bekas pemain sayap Terengganu FC itu kini dikendalikan pasukan khas Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.
Ini susulan jawapan yang diberi Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkenaan usul 17 (1) Peraturan-Peraturan Tetap DUN Selangor yang dibawa Abbas Salimmi Che Adzmi@azmi (PH-Seri Serdang) kepada pejabat DUN Selangor pada 25 November lalu.
Pada 5 Mei lepas, Faisal mengalami kecederaan selepas disimbah asid oleh dua individu tidak dikenali di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya.
Serangan tersebut mengakibatkan beliau mengalami kecederaan melecur di beberapa bahagian badannya dan menerima rawatan di hospital. Faisal kembali beraksi buat Selangor pada Ogos lalu.