Jurulatih Selangor FC, Nidzam Jamil mengakui pasukan itu memantau keadaan terkini pemain pertahanan mereka, Khuzaimi Piee.
Baru-baru ini, Khuzaimi menjadi mangsa kecurian apabila rumahnya dipecah masuk. Kejadian ini disedari bek tengah Harimau Malaya itu selepas pulang daripada menjalani latihan bersama Selangor.
Insiden ini menyaksikan Khuzaimi kehilangan motosikal Yamaha Y15, empat beg silang pelbagai jenama dan pasport. Susulan itu, satu laporan polis dibuat dengan kenderaan suspek dikesan menerusi rakaman video kamera litar tertutup (CCTV).
Nidzam mengakui insiden tersebut membuatkan bek tengah berusia 30 tahun itu bimbang tentang keselamatan keluarga dan kediamannya.
Pada masa sama, beliau percaya Khuzaimi seorang yang profesional dan melihat insiden itu tidak akan menggugat fokusnya di atas padang.
“Semalam (Jumaat), Khuzaimi masih turun berlatih seperti biasa. Sehari sebelum itu, ada kejadian (pecah rumah) di rumah dia. Jadi, kita pun ada berbual dengan dia.
“Saya rasa peringkat kelab pun, pengurusan pun ada berbual dengan Khuzaimi. Saya pun ada berbual dengan dia (selama) 20 minit (hingga) 30 minit. Sudah tentu, kebimbangan kita ialah keluarga dan perasaan terhadap situasi yang berlaku di rumah.
“Tapi saya rasa semua telah diselesaikan dengan cara (laporan) polis, dengan meletakkan keluarganya di rumah yang lebih selamat.
“Dan saya rasa Jimmy (nama panggilan Khuzaimi) seorang yang profesional, seorang yang berfikir yang baik. Jadi, saya tak nampak perkara itu mengganggu dia di padang.
“Sudah tentu kerisauan terhadap keluarga itu masih adalah tapi sedikit,” katanya dalam temubual pra-perlawanan yang disiarkan di Astro Arena semalam.
Selangor berharap dapat meneruskan momentum kemenangan yang diraih selepas menewaskan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) 1-0 pada minggu lepas. Malam ini, mereka bakal menentang Negeri Sembilan FC di Stadium MBPJ.