Naib juara Liga Super 2023, Selangor FC diminta untuk menanggung kerugian yang dialami oleh Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Malaysian Football League (MFL).
Menerusi satu kenyataan oleh MFL, Gergasi Merah telah pun dikenakan 4 denda susulan penarikan diri daripada aksi Piala Sumbangsih 2024 menentang JDT di Stadium Sultan Ibrahim.
“Ahli Lembaga Pengarah Malaysian Football League (MFL) telah mengadakan mesyuarat bagi membincangkan kes ketidakhadiran Selangor FC ke Perlawanan Sumbangsih yang juga aksi pertama Liga Super pada 10 Mei 2024 menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim.
Ahli Lembaga Pengarah MFL yang menghadiri mesyuarat itu telah sebulat suara untuk membuat keputusan antaranya ialah denda bernilai RM100,000.
Bukan itu sahaja, Selangor diminta untuk membuat bayaran pampasan kerugian yang ditanggung pasukan tuan rumah JDT dan MFL susulan pembatalan aksi tersebut.
Antara tindakan lain yang dikenakan ialah pemotongan tiga mata dalam pertandingan Liga Super 2024-2025 selain perlawanan Liga Super (LS14) melibatkan Selangor FC menentang JDT di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya akan dimainkan tanpa penonton.
Pemotongan mata ini juga bakal menyaksikan Selangor yang kini berada pada kedudukan kedua bakal ditolak tiga mata sekaligus jatuh ke tangga kelima Liga Super.
Cabaran berikutnya bagi anak didik Nizdam Jamil adalah aksi Piala FA 2024 menentang Kuching City di Stadium Negeri pada 29 Julai 2024.