Selangor Umum Kehadiran Vítor Pernambuco
MakanBola
Selangor FC

Selangor FC mengumumkan kehadiran penyerang dari Brazil, Vítor Pernambuco yang memperkuatkan skuad Red Giants untuk baki saingan musim ini.

Pemain berusia 27 tahun itu dilahirkan pada 28 April 1998 di Igarassu, Brazil dan merupakan pemain serangan versatil yang boleh beraksi di posisi sayap selain mampu mengisi beberapa peranan di bahagian hadapan. Dengan ketinggian 1.87 meter, Pernambuco membawa kombinasi kepantasan, kekuatan fizikal dan gaya serangan dinamik ke dalam pasukan Selangor.

Pernambuco memulakan karier profesionalnya di Brazil selepas melalui sistem pembangunan Portuguesa, sebelum menimba pengalaman di pentas Eropah bersama FC Lviv di Ukraine. Beliau turut beraksi secara pinjaman bersama FC Dinamo Tbilisi di Georgia dan FK Bodø/Glimt di Norway, sebelum menyarung jersi FC Sheriff Tiraspol di Moldova.

Kariernya kemudian diteruskan di Kazakhstan dan Hungary, sebelum kembali ke Brazil untuk beraksi bersama beberapa kelab termasuk Juventude dan Operário Ferroviário dalam saingan Serie B Brazil.

Dikenali dengan naluri menyerang, keberanian mencabar pertahanan lawan serta kebolehan menyumbang jaringan dan bantuan gol, kehadiran Pernambuco dilihat sebagai langkah Selangor FC untuk menambah tenaga, pengalaman dan kepelbagaian di bahagian serangan.

Pernambuco menyatakan keterujaannya menyertai Selangor FC dan berazam untuk membantu pasukan mencapai sasaran ditetapkan, selain tidak sabar beraksi di hadapan penyokong setia Red Giants bagi baki musim ini.