Selangor FC menambah suntikan baharu di jentera serangan apabila membawa masuk pemain sayap dari Korea Selatan, Kim Ji-ho bagi menghadapi baki musim 2025/26.
Pemain berusia 22 tahun itu merupakan produk pembangunan bola sepak Korea Selatan selepas melalui pelbagai peringkat akademi, termasuk sistem Suwon Samsung Bluewings dan Seongnam FC, sebelum melanjutkan perkembangan kariernya di peringkat universiti bersama Korea University.
Kim mula merasai pentas profesional pada Julai 2024 apabila menyertai Suwon Samsung Bluewings, dan sejak itu telah mengumpul 22 penampilan kompetitif, selain menyumbang empat gol serta tiga bantuan jaringan dalam saingan K League 2 dan Korea Cup.
Dikenali sebagai pemain sayap yang pantas dan agresif dalam menyerang, Kim melihat Selangor FC sebagai destinasi sesuai untuk mengembangkan kariernya, khususnya dengan visi kelab dan kualiti barisan kejurulatihan yang diyakini mampu membantunya mencapai tahap lebih tinggi.
Beliau turut mengakui sambutan positif daripada rakan sepasukan dan staf kelab sejak ketibaannya, sekali gus memudahkan proses penyesuaian dalam persekitaran baharu bersama Red Giants.
Selain itu, Kim menyifatkan sokongan penyokong Selangor FC sebagai antara yang paling mengagumkan pernah dilihat, dan menyatakan keterujaannya untuk merasai sendiri suasana perlawanan di hadapan penyokong setia pasukan.
Selangor FC berharap kehadiran Kim Ji-ho dapat memberikan lebih variasi dan daya ancaman di bahagian serangan, sekali gus membantu pasukan dalam saingan Liga Super Malaysia serta ACC Shopee Cup 2025/26.