Selepas 129 Hari, Bisa Hector Hevel Masih Melekat Kuat
MakanBola
Johor Southern Tigers

Meskipun tidak beraksi selama empat bulan, Hector Hevel kekal berbisa sebagai pemain perancang Johor Darul Ta’zim (JDT).

Ini dibuktikan menerusi statistik dari segi bantuan percubaan pemain-pemain yang beraksi dalam Shopee Cup oleh ASEAN United baru-baru ini.

Hevel menerajui carta tersebut dengan 11 hantaran. Pemain tengah skuad kebangsaan itu meninggalkan pemain perancang Cong An Ha Noi FC (CAHN FC), Leo Artur dengan kelebihan dua hantaran.

Pengaruh Hevel jelas kelihatan apabila membantu JDT meraih kemenangan 3-0 ke atas Shan United dalam aksi terbaru Kumpulan B.

Bekas pemain Portimonense itu beraksi selama 77 minit sebelum digantikan oleh seorang lagi pemain kebangsaan, Nazmi Faiz Mansor.

Peter Zulj (Buriram United) dan Diogo Costa (Lion City Sailors (LCS)) berkongsi tempat ketiga dengan lapan hantaran. Esrom Paulos pula merekodkan tujuh hantaran untuk Dynamic Herb Cebu (DH Cebu).

Kehadiran semula Hevel amat membantu JDT terutama bila mengharungi beberapa perlawanan pada bulan Februari.

Selepas menentang Imigresen pada 1 Februari, fokus JDT akan beralih semula kepada Shopee Cup. Mereka akan menentang Thep Xanh Nam Dinh empat hari selepas itu.

Aksi ini dilihat bakal menentukan pasukan mana yang akan bergelar juara Kumpulan B. Selain itu, ini juga peluang buat Bergson da Silva dan Nguyen Xuan Son menambah koleksi gol masing-masing.