Selepas 7 Tahun, Bintang Muda JDT Pilih Haluan Baharu
MakanBola
Johor Southern Tigers

Pemain sayap muda Johor Darul Ta’zim (JDT), Alif Mutalib mengumumkan perpisahannya bersama skuad Harimau Selatan selepas tujuh tahun menabur bakti bersama kelab gergasi tanah air itu.

Perkembangan tersebut dikongsikan sendiri oleh Alif Mutalib menerusi satu hantaran di laman Instagram peribadi beliau yang sarat dengan ucapan penghargaan buat semua pihak di JDT.

Menurut Alif, perjalanan tujuh tahunnya bersama JDT dipenuhi dengan pelbagai kenangan bermakna bermula daripada sesi latihan hinggalah ke hari perlawanan.

“Daripada hari-hari latihan hingga ke hari perlawanan, setiap detik bersama pasukan ini amat bermakna buat saya. Saya berbangga kerana berpeluang berkongsi padang bersama kalian semua,” tulisnya.

Dalam masa sama, pemain berusia 24 tahun itu mengakui keputusan untuk meninggalkan pasukan bukan sesuatu yang mudah memandangkan hubungan yang terjalin bersama rakan sepasukan dan seluruh warga JDT sepanjang tempohnya di kelab tersebut.

“Bukan mudah untuk meninggalkan pasukan ini kerana anda semua telah menjadi lebih daripada sekadar rakan sepasukan.

“Namun percayalah, ini bukanlah ucapan selamat tinggal, sebaliknya jumpa lagi pada masa hadapan,” tambah beliau.

Alif turut merakamkan penghargaan kepada Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, pihak pengurusan, barisan kejurulatihan, kakitangan serta rakan sepasukan yang banyak membantunya sepanjang berada dalam sistem JDT.

Beliau turut menyifatkan pengalaman yang diperoleh bersama Harimau Selatan sebagai bekalan berharga yang akan dibawa ke fasa seterusnya dalam karier bola sepaknya.

“Terima kasih atas segala kenangan dan pengalaman yang indah. Ia merupakan satu penghormatan dan keseronokan dapat menjadi sebahagian daripada keluarga JDT.

“Saya amat bersyukur atas perjalanan ini,” katanya lagi.

Alif Mutalib merupakan antara pemain muda yang lahir daripada sistem pembangunan JDT dan pernah beraksi bersama skuad muda dan utama dalam struktur kelab itu sepanjang tujuh tahun bersama Harimau Selatan.

Setakat ini, destinasi baharu Alif bagi musim akan datang masih belum diumumkan dengan Negeri Sembilan dilaporkan menjadi destinasi baharu buat pemain kelahiran Kedah ini.