Nama bintang Indonesia, Egy Maulana Vikri pula menjadi perhatian di Iran selepas pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman.
Sebelum ini, nama Arif Aiman menjadi bualan hangat di Iran apabila dikaitkan dengan perpindahan ke Persepolis FC dan Tractor FC yang sedang bersaing dalam saingan liga di sana.
Malah laman Transfermarket turut menilai kemungkinan bagi perpindahan itu berlaku sekitar 57% sekaligus merancakkan lagi khabar angin mengenai Arif Aiman ini bakal ke Iran
Lantaran itu, peminat-peminat di Iran mula membanjiri laman media sosial pemain Harimau Malaya tersebut dengan rata-rata mengajak Arif bagi menyertai dan memperkuat pasukan mereka.
Walau bagaimanapun, tiada sebarang pengumuman rasmi dari pihak kedua-dua kelab khususnya JDT dan Arif Aiman mengenai desas-desus yang bertiup kencang mengejut ini.
Terkini, salah sebuah media tempatan di Iran, Tarafdari pula mendedahkan pemain Indonesia, Egy Maulana Vikri berada dalam radar salah sebuah kelab di sana iaitu Esteghlal.
”Egy Maulana Vikri, pemain sayap pasukan kebangsaan Indonesia dan Dewa United dikaitkan dengan Esteghlal,” lapor Tarafdari.
”Dia (Egy Maulana) pernah bermain di Liga Poland dan Slovakia malah terkenal dengan gelaran Messi Indonesia,” ujar media tempatan Iran itu lagi.
Sehingga kini, khabar angin ini hanya meluas dalam kalangan media di Indonesia dengan pengesahan rasmi masih dinanti dari pihak Egy Maulana dan kelabnya, Dewa United.