Penyerang baharu Selangor, Richmond Boakye mengakui jaringan pertama beliau tempoh hari bakal memberi suntikan semangat untuk memacu The Red Giants memburu kemenangan seterusnya.
Pemain kelahiran Ghana ini menzahirkan penghargaan tinggi kepada rakan sepasukan dan barisan jurulatih kerana tanpa bantuan mereka beliau tidak mampu menjaringkan gol pertamanya.
“Yang pertama, saya mahu berterima kasih kepada Tuhan yang maha kuasa kerana Dia-lah yang membenarkan segala yang terjadi.
“Saya juga mahu berterima kasih kepada rakan sepasukan saya, penyokong dan staf pasukan kerana tanpa mereka, mustahil untuk saya menjaringkan gol ini.
“Jaringan ini saya dedikasikan buat penyokong dan rakan sepasukan saya,” katanya dipetik daripada Astro Arena.
Beliau diturunkan pada separuh masa kedua dan hanya memerlukan 13 minit sahaja untuk mencatat jaringan pertamanya bersama Selangor.
“Ia sentiasa waktu yang menggembirakan untuk dinikmati buat seorang penyerang apabila dapat menjaringkan gol pertama.
“Apabila anda menjaringkan gol pertama, jaringan berikutnya akan datang segera jika anda meneruskan yang terbaik dalam latihan dan mendengar cakap jurulatih.
Selepas ini, The Red Giants akan bertemu The Rhino di Stadium MBPJ, pada 23 Julai ini jam 9 malam.