KL City FC dan Negeri Sembilan FC bakal menjadi lawan pemanas badan kelab Indonesia, Semen Padang.
Perkara ini disahkan oleh penasihat kelab, Andre Rosiade apabila ditanya penyokong tentang perancangan pra-musim pasukan itu.
Andre memaklumkan dua pasukan tersebut bakal menghadapi Kabau Sirah itu sepanjang tempoh latihan pra-musim mereka di Malaysia.
““Untuk penyokong Semen Padang, pasukan kebanggaan orang awak akan melakukan latihan pusat di pertengahan Julai ke Malaysia.”
“Direncanakan Kabau Sirah akan melakukan perlawanan ujian melawan Kuala Lumpur FC dan Negeri Sembilan FC,” katanya di Instagram.
Andre memaklumkan Semen Padang bakal memulakan latihan pada minggu awal Julai ini. Mereka akan berlatih terlebih dahulu di Indonesia sebelum bertolak ke Malaysia.
Kabau Sirah diperkuatkan dengan lima tonggak import iaitu Felipe Chaby, Cornelius Stewart, Alhassan Wakaso, Bruno Gomes, dan Arthur Augusto.
Tiga lagi pemain berada dalam radar kelab berkenaan iaitu Angelo Meneses, Rui Rampa dan Ofufu Ibeh.
Sebelum ini, KL City dan Negeri Sembilan juga dijadual bertemu dengan Kelantan Red Warrior FC (KRW FC) untuk aksi pra-musim.