Persoalan tentang jumlah banyak dan identiti kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) yang bakal beraksi di pentas Eropah musim hadapan telah terjawab.
Saingan EPL musim ini telah pun melabuhkan tirai apabila 10 perlawanan berlangsung serentak pada Ahad, melibatkan 20 pasukan bagi menentukan kedudukan akhir dalam carta dengan beberapa posisi penting jadi tumpuan peminat.
Walaupun kejuaraan sah menjadi milik Arsenal, namun kedudukan teratas liga masih menjadi perhatian ramai sebelum aksi minggu terakhir berjalan terutamanya membabitkan perebutan tempat ke saingan UCL musim akan datang.
Kejuaraan yang dimenangi Arsenal memastikan tiket buat The Gunners ke UCL musim hadapan bersama Manchester City sebagai naib juara liga dan Manchester United yang bakal kembali membuat kemunculan selepas tiga musim.
Liverpool dan juara Europa League, Aston Villa melengkapkan senarai 5 kelab dari England yang bakal beraksi di Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim hadapan, sekali gus memiliki wakil terbanyak ke saingan tertinggi Eropah itu.
Kejutan besar berlaku apabila Sunderland yang baru sahaja kembali ke pentas EPL musim ini tampil memukau bagi berada di tangga ke-7 dan merebut tiket ke Europa League, bersama Bournemouth di kedudukan ke-6 EPL.
Manakala, Brighton yang tewas 0-3 kepada Manchester United dalam aksi terakhir pula mengesahkan tempat sebagai satu-satunya kelab dari England yang bakal beraksi di kejoahanan UEFA Conference League (UECL) nanti.
8 pasukan ini bakal menggalas nama EPL dan England untuk melangkah lebih jauh musim hadapan dengan kelab-kelab besar seperti Chelsea dan Tottenham Hotspurs terpaksa akur tercicir tempat musim 2026-2027 itu nanti.