ACL

Senarai Kecederaan Pemain Kuching City Berkurang

Kuching City Latihan 1 Senarai Kecederaan Pemain Kuching City Berkurang
Kuching City FC

Kuching City menerima perkembangan positif apabila senarai pemain yang mengalami kecederaan semakin berkurangan menjelang aksi menentang Phnom Penh Crown dalam saingan AFC Champions League Two (ACL2) 2026/2027.

Advertisement

Perkembangan itu disahkan ketua jurulatih, Aidil Sharin Sahak, ketika sesi sidang media praperlawanan yang berlangsung pada Rabu apabila beliau memaklumkan bahawa sebahagian besar pemain kini berada dalam keadaan baik.

“Ya, keadaan semakin baik kerana senarai pemain yang mengalami kecederaan semakin berkurangan.

“Setakat ini, hanya empat pemain yang tidak dapat diturunkan untuk perlawanan esok (hari ini), sementara pemain-pemain lain berada dalam keadaan baik dan boleh diturunkan,” katanya.

Bagaimanapun, masih terdapat beberapa pemain yang belum dapat kembali memperkuatkan pasukan kerana mengalami kecederaan jangka panjang.

Antara pemain yang masih berada dalam senarai kecederaan ialah Ronald Ngah Wanja, Gabriel Peres dan Jimmy Raymond, manakala Wesley Milkias turut mengalami kecederaan anterior cruciate ligament (ACL).

“Hanya pemain yang mengalami kecederaan jangka panjang seperti Ronald Ngah Wanja, Gabriel Peres dan Jimmy Raymond masih belum pulih, manakala Wesley Milkias juga mengalami kecederaan ACL,” jelas Aidil Sharin.

Dalam masa sama, penyerang Kuching City, Ajdin Mujagic, merupakan antara pemain yang sudah kembali pulih dan membantu mengurangkan senarai kecederaan pasukan.

Ajdin sebelum ini telah kembali diturunkan sebagai pemain gantian ketika Kuching City berdepan Negeri Sembilan pada minggu lalu selepas diketepikan akibat kecederaan.

Kepulangan penyerang itu turut memberikan lebih banyak pilihan kepada Aidil Sharin di bahagian serangan dan beliau berpotensi sekali lagi diberikan peluang untuk beraksi menentang Phnom Penh Crown.

Dengan sebahagian besar pemain kini berada dalam keadaan cergas, Aidil Sharin mempunyai lebih banyak pilihan untuk menentukan kesebelasan utama serta pendekatan taktikal bagi menghadapi wakil Kemboja itu.

Kuching City pastinya mahu memanfaatkan keadaan skuad yang semakin pulih untuk mendapatkan keputusan positif di hadapan penyokong sendiri.

Aksi menentang Phnom Penh Crown dijadualkan berlangsung pada Khamis di Stadium Taha Ariffin bagi meneruskan kempen Kuching City dalam saingan ACL2 musim ini.

Percuma untuk pembacaTnG Money Packet PercumaMenyemak Money Packet...
--baki
Memuatkan...