Seorang Lagi Pemain Korea Selatan Sarung Jersi Selangor
MakanBola
SELANGOR FC

Selangor mengumumkan ketibaan seorang lagi pemain import Korea Selatan selepas Kim Ji-ho bagi menghadapi baki musim 2025/26.

Perpindahan pemain berusia 26 tahun, Jeon Seung-min, itu telah diumumkan oleh pihak pengurusan The Red Giants menerusi laman media sosial mereka pada Selasa.

“Perjanjian telah dimuktamadkan bagi seorang lagi pemain tengah Korea Selatan, yang menyertai Red Giants di bahagian tengah padang.”

“Kontrak telah ditandatangani sebelum penutupan jendela perpindahan pada 1 Februari 2026. Annyeonghaseyo, Jeon!,” kata kelab Selangor dalam satu kenyataan di laman media sosial.

Jeon Seung-min, pemain tengah, memulakan karier profesionalnya bersama Seongnam FC, di mana beliau tampil dalam 3 perlawanan liga sebelum menyertai Jeonnam Dragons, mencatat 43 penampilan dan 3 gol, membuktikan kreativiti serta konsistensinya di tengah padang.

Beliau seterusnya beraksi dengan Busan IPark sebanyak 13 perlawanan sebelum berpindah ke FC Anyang, di mana beliau memainkan peranan penting membantu pasukan meraih gelaran K League 2 musim 2023/24. Secara keseluruhan, Jeon telah mencatat 74 penampilan dan menjaringkan 3 gol sepanjang kerjayanya.