Seorang pemain badminton Malaysia didakwa bakal mengambil keputusan untuk menggantung raket.
Perkara ini didedahkan menerusi satu sesi audio siar, The BangMed Show yang dikendalikan wartawan Astro Arena, Shahrazad Sani dan tetamu jemputan, Sairul Amar Ayub.
Shahrazad Sani atau lebih dikenali sebagai Bang Med berbincang mengenai sikap buruk segelintir pemain bersama Sairul Amar Ayub yang juga bekas jurulatih negara.
Pada pendapat Sairul, isu ini timbul adalah disebabkan tidak lain dan tidak bukan oleh masalah kekurangan pemain di dalam pasukan kebangsaan ketika ini.
”Kita kekurangan pemain, contoh kita ada 7 hingga 8 pemain dan yang buat perangai ada 3 orang lalu dibuang, tinggallah lima orang pemain,” jelas Sairul Amar.
”Tak mungkin pasukan kebangsaan ada lima pemain sahaja,” ujar Sairul Amar yang pernah dilantik selaku jurulatih negara pada tahun 2016.
Sairul sempat bertanya berkenaan jumlah bilangan pemain perseorangan wanita di dalam skuad kebangsaan dan Bang Med mendedahkan bahawa hanya tiga orang sahaja pemain yang tinggal.
Pendedahan mengejutkan apabila Bang Med memberitahu salah seorang daripada 3 pemain wanita dikhabarkan bakal bersara dari dunia badminton tidak lama lagi.
”Ahmed (Shahrazad Sani) tahu sektor perseorangan wanita kebangsaan ketika ini ada berapa orang?” soal Sairul kepada Shahrazad Sani.
“Ada tiga orang (pemain), itu pun saya dengar ada seorang pemain pun nak gantung raket dah,” jawab Shahrazad Sani.
Walau bagaimanapun, identiti pemain yang bakal bersara itu tidak didedahkan dan setakat ini tiada pengumuman rasmi oleh mana-mana pihak terutamanya Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berkenaan hal ini.
Hasil tinjauan di laman web BAM, kem perseorangan wanita kebangsaan ketika ini terdiri daripada empat pemain iaitu K. Letshanaa, Oo Shan Zi, Wong Ling Ching dan Siti Zulaikha.