Pemain tengah Harimau Malaya, Sergio Aguero sah meninggalkan kelab Thailand, Kanchanburi Power FC.
Perkara ini disahkan bekas pemain Sri Pahang FC itu menerusi satu kenyataan di Instagram. Meskipun hanya sempat bersama Kanchanaburi selama semusim, Aguero menghargai pengalaman beraksi untuk kelab itu.
“Kepada presiden, pihak pengurusan, kakitangan, jurulatih, dan semua orang di sekitar kelab, terima kasih atas kepercayaan dan keprihatinan anda serta membuatkan saya dan keluarga saya rasa seperti di rumah sendiri sejak hari pertama.
“Terima kasih juga kepada rakan sepasukan saya, ia satu penghormatan berkongsi bilik persalinan dan padang dengan anda. Saya juga bertuah kerana berpeluang bermain bersama pemain hebat dan nama-nama besar sekaligus menjadikan perjalanan ini lebih istimewa,” katanya.
Aguero turut menghargai sokongan penyokong sepanjang beraksi untuk Kanchanaburi. “Terima kasih yang istimewa kepada peminat yang hebat. Semangat, kesetiaan dan sokongan tanpa berbelah bahagi anda adalah apa yang menjadikan kelab ini benar-benar istimewa.
“Anda adalah nadi kelab ini dan sebab terbesar mengapa ia mempunyai segalanya untuk menjadi sebuah kelab besar,” tambahnya.
Aguero merekodkan 20 penampilan dan satu bantuan gol dalam semua kejohanan untuk Kanchanaburi. The Iron Horse menamatkan musim di tangga terakhir Thai League 1 dengan 23 mata.
Kelab itu segera melakukan perubahan sebagai persediaan menghadapi Thai League 2 musim depan. Salah satu daripadanya ialah pelantikan jurulatih Korea Selatan, Park Hang-seo sebagai jurulatih tetap.