Pengurusan Selangor FC kini menunggu keputusan sama ada skuad kedua Merah Kuning bakal beraksi di Singapura atau tidak.
Sebelum ini, pengurusan Selangor memilih saingan Singapore Premier League (SPL) bagi membolehkan skuad kedua mereka mendapat minit permainan yang kompetitif.
Ini selepas Malaysian Football League (MFL) memutuskan untuk memansuhkan saingan Piala MFL untuk musim 2025/26.
Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Selangor, Datuk Seri Shahril Mokhtar memaklumkan skuad muda Merah Kuning berkemungkinan beraksi di Singapura untuk musim hadapan.
Pada masa sama, Selangor juga bersedia menghantar pasukan itu beraksi dalam saingan Liga A1 Semi-Pro seandainya usaha mereka ke Singapura gagal direalisasikan.
“Ada kemungkinan tinggi Selangor 2 akan bermain di Liga Singapura. Tetapi bukan mudah ya, banyak proses, laluan-laluan tertentu dan dokumentasi yang kita harus teliti.
“Ditanya kalau sudah dibentuk atau ada pengesahan, jawapannya belum lagi. Kalau seandainya tidak berjaya, banyak kemungkinan. Salah satu kemungkinan ialah beraksi di Liga A1,” katanya kepada Nadi Arena.
Selangor muncul naib juara Piala MFL selepas meraih 52 mata daripada 24 perlawanan musim 2024/25.