Shahril Mokhtar Tampil Jawab Pendedahan Tunku Ismail
MakanBola
FAM/FN

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Seri Shahril Mokhtar tampil menjawab pendedahan oleh Pemangku Sultan Johor, DYAM Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Pada sesi meja bulat Malaysian Football League (MFL) baru-baru ini, DYAM Tunku Ismail mendedahkan bahawa terdapat percubaan untuk mempengaruhi keputusan pengadil di Liga Malaysia.

Baginda tampil dengan bukti berbentuk perbualan antara Shahril Mokhtar dan seorang individu yang difahamkan Encik Kassim Kadir Bacha dari Unit Pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Shahril Mokhtar yang juga bekas Ahli Jawatankuasa (EXCO) FAM tampil memaparkan perbualannya bersama individu tersebut sambil menafikan wujudnya cubaan untuk mempengaruhi keputusan perlawanan.

“Adakah tindakan tersebut merupakan satu bentuk rasuah (corruption)? Jawapannya tidak. Tiada sebarang tawaran, imbuhan atau unsur yang boleh ditafsirkan sebagai rasuah dalam mesej tersebut.

“Adakah saya cuba mempengaruhi keputusan pengadil? Juga tidak. Sekiranya itu niat saya, mesej tersebut sudah tentu dihantar sebelum perlawanan berlangsung, bukannya selepas ia berakhir,” dedah Shahril kepada wartawan Astro Arena, Fina Nasrom.

Shahril dikesan berkongsi klip perlawanan separuh akhir Piala Malaysia 2025-26 antara Selangor dan Kuching City sambil mempersoal keputusan pengadil pada perlawanan tersebut.

Kassim Bacha memaklumkan kepada beliau bahawa beliau akan menyemak keputusan yang diambil oleh pengadil pada perlawanan tersebut.

“Assalamualaikum Datuk Seri. InsyaAllah saya akan semak dengan VAR dan pengadil. Terima kasih Datuk Seri,” ujar beliau.