Bek tengah Terengganu FC, Shahrul Nizam Ros Hasni menyimpan hasrat menyarung jersi Harimau Malaya.
Hasrat itu dinyatakan beliau selepas sebelum ini berada dalam senarai bersedia Harimau Malaya untuk beberapa tugasan antarabangsa.
Malah, Shahrul Nizam juga pernah dipanggil menyertai kem Harimau Malaya pada 2021. Walau bagaimanapun, bek tengah berusia 26 tahun itu terpaksa menarik diri atas sebab tertentu.
Meskipun sedar persaingan merebut slot Harimau Malaya semakin sengit terutama di bahagian bek tengah, beliau bersedia seandainya khidmatnya dipanggil jurulatih skuad negara, Peter Cklamovski.
“Sudah tentu, saya teringin nak main bersama skuad kebangsaan. Insya Allah, kalau ada rezeki saya, ada hari kalau saya dapat panggilan, saya pergi,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi.
Sepanjang bersama Peteh, Shahrul Nizam sudah merekodkan 117 penampilan dalam semua kejohanan termasuk Shopee Cup.
Sekiranya dipanggil menyertai kem Harimau Malaya pada Mac ini, beliau menjadi pemain Terengganu terbaru yang dipilih dalam skuad kebangsaan.
Skuad negara dilaporkan bakal bertemu Nepal di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) pada 25 Mac ini.