Advertisements
Shanghai Port Muncul Juara Chinese Super League
Asia
MakanBola
Shanghai Port

Shanghai Port muncul juara Chinese Super League (CSL) musim 2024 sekaligus mempertahankan gelaran juara yang diraih pada tahun 2023.

Port muncul juara selepas menewaskan Tianjin Jinmen Tiger 5-0 dalam aksi terakhir CSL pada 2 November lalu. Leo Cittadini membuka jaringan buat tuan rumah seawal minit keempat.

Matteo Vargas menggandakan kelebihan Port pada minit ke-34. Penalti bekas bintang Chelsea, Oscar dan dua gol Wu Lei memastikan Port menamatkan musim dengan 78 mata.

Kejayaan ini juga membolehkan mereka mengatasi cabaran musuh setempat, Shanghai Shenhua. Shenhua yang dibimbing Leonid Slutskiy terpaksa menelan kepahitan bergelar naib juara buat kali keempat dalam era CSL.

Shenhua menamatkan musim di tangga kedua dengan 77 mata menerusi kemenangan 2-1 ke atas Chengdu Rongcheng. Pada awalnya, tuan rumah mendahului pada minit ke-42 menerusi Dong Yanfeng.

Walau bagaimanapun, gol Wu Xi dan Yu Hanchao memastikan anak buah Slutskiy menamatkan kempen CSL dengan kemenangan.

Gelaran juara CSL musim 2024 dilihat cukup bermakna buat Oscar dan jurulatih Port, Kevin Muscat. Bagi bintang Brazil itu, ini bukan saja gelaran juara ketiga beliau bersama Port.

Malah, ini dilihat hadiah perpisahan terbaik buat Oscar sebelum kembali ke Brazil pada akhir tahun ini. Sejak menyertai Port pada 2017, beliau merekodkan 244 penampilan, 76 gol dan 136 bantuan gol.

Bagi Muscat pula, ini gelaran juara ketiga di negara berbeza selepas melakukannya bersama Melbourne Victory (Australia) dan Yokohama F. Marinos (Jepun).

Beliau berharap kemenangan ini dapat menginspirasikan pasukan itu untuk tampil lebih cemerlang selepas ini terutama dalam saingan Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE).

“Sudah tentu saya perlu percaya bahawa saya boleh memenangi kejuaraan (CSL). Kita perlu memiliki keyakinan terlebih dahulu. Untuk mencapainya, kita perlu menyakinkan pasukan untuk percaya dengan corak permainan ini.

“Kita mencapai keputusan yang hebat hari ini di mana ia dicapai menerusi usaha bersama. Saya harap kita dapat melakukan lebih baik dalam lebih banyak perlawanan dan terus mengikut corak permainan kita.

“Saya percaya tatkala perlawanan semakin berjalan, corak permainan kita juga akan jadi lebih matang,” katanya seperti yang dilaporkan portal 163.com.

Selepas ini, Port mengalihkan fokus untuk aksi keempat ACLE menentang Kawasaki Frontale pada 5 November. Pasukan itu mahu mengekalkan kecemerlangan selepas menewaskan Central Coast Mariners pada 22 Oktober lalu.