Sheffield United yang sah tersingkir daripada Premier League musim ini telah mengikuti jejak langkah Kelantan FC dalam memecahkan rekod liga.
Musim lalu, Kelantan mengharungi musim yang sukar apabila menamatkan saingan Liga Super di tangga tercorot dengan rekod bolos sebanyak 121 kali dalam 26 perlawanan liga.
Jumlah bolos tersebut telah memecahkan rekod bolos terbanyak dalam tempoh semusim Liga Super yang sebelum ini menjadi milik PDRM pada musim 2009 dengan 75 gol.
Kini Sheffield United seakan-akan menerima nasib yang sama dengan pasukan Kelantan apabila telah bolos lebih 100 kali dalam 37 perlawanan liga.
Lebih malang, Sheffield merupakan pasukan pertama dalam sejarah Premier League yang pernah dibolosi lebih 100 gol semusim setelah tewas kepada Everton dengan jaringan 1-0.
Walaupun berbeza dari segi jumlah perlawanan dan juga tahap kualiti permainan, kedua-dua pasukan kini mempunyai persamaan dalam memecahkan rekod bolos liga.
Penjaga gol Sheffield United, Wes Foderingham pastinya ingin melupakan musim sukar ini apabila Foderingham telah melepaskan gol sebanyak 75 kali dalam 28 perlawanan liga.
Pasukan kendalian Chris Wilder ini telah memperbaharui rekod bolos 100 gol milik Swindon Town pada musim 1993/1994 apabila The Blades kini dibolosi sebanyak 101 kali.
Sheffield United sah akan menamatkan liga di tangga tercorot walaupun masih berbaki satu perlawanan menentang Tottenham Hotspur setelah merekodkan 3 kemenangan, 7 seri dan 27 kekalahan dalam saingan liga.