Pemain sayap Jepun, Sho Yamamoto menjadi pemain terbaru menyertai Sabah FC. Perpindahan pemain sayap berusia 29 tahun itu diumumkan pengurusan Sang Badak dalam satu kenyataan.
“Kepingan terakhir kita, seorang pemain tengah dari Saitama, Jepun. Selepas membuat impak di Indonesia bersama Persis Solo, beliau kini sudah bersedia untuk cabaran baru bersama Sang Badak.
“Selamat datang menyertai keluarga ini, Sho!” kata kelab dalam satu kenyataan. Pengumuman ini juga menyaksikan Sabah melengkap senarai tonggak import bagi menghadapi kempen musim ini.
Yamamoto banyak menghabiskan kariernya di Eropah sebelum memilih berkelana ke Indonesia pada 2022. Selain Persis Solo, beliau juga pernah beraksi untuk Persebaya Surabaya, Bhayangkara, FK Iskra, OFK Petrovac dan Spartak Subotica.
Yamamoto bakal bersaing dengan Park Jung-bin, Farhan Roslan dan Fayadh Zulkifli untuk posisi bahagian sayap. Beliau juga mampu beraksi sebagai pemain tengah menyerang atau pemain tengah jika diperlukan.
Anak jati Kasukabe, Saitama ini antara tonggak import baharu Sabah musim ini. Selain beliau dan Jung-bin, Sabah turut merekrut Gonzalo Di Renzo, Juan Flere, Kike Cadeta dan Oskari Kekkonen.