10 pemain Buriram United memastikan mereka meraih satu mata berharga dengan Lion City Sailors dalam aksi terbaru Kumpulan B Shopee Cup.
Thunder Castle memerlukan kemenangan untuk memintas pendahulu kumpulan, Cong An Ha Noi FC (CAHN). The Sailors pula memerlukan kemenangan untuk menghidupkan peluang mara ke separuh akhir.
Gandingan Kim Min-hyeok, Supachai Chaided dan Guilherme Bissoli menjadi pilihan pengendali Buriram, Osmar Loss Vieira. Lennart Thy menjadi pilihan Aleksandar Rankovic untuk merobek gawang lawan.
Separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan berusaha mencari kelebihan gol awal di Stadium Jalan Besar.
Buriram pantas mengancam gawang Lion City Sailors seawal minit ketiga menerusi Bissoli meskipun beraksi di atas padang tiruan. Percubaan penyerang Brazil itu dinafikan Izwan Mahbud.
Tiga minit selepas itu, giliran Thy menguji kecekapan penjaga gol Thunder Castle, Chatchai Budprom. Malangnya, percubaannya pantas dinafikan penjaga gol berusia 37 tahun itu.
Rentak Buriram terjejas apabila pengadil perlawanan, Omar Mubarak Mazaroua Al Yaqoubi melayangkan kad kuning kedua kepada Kenny Dougall pada minit ke-43.
Keadaan ini menyebabkan Buriram terpaksa beraksi dengan 10 orang pemain. Keputusan 0-0 kekal sehingga rehat.
Bersambung pada babak kedua, Vieira memasukkan kapten Harimau Malaya, Dion Cools. Cools masuk menggantikan Sasalak Haiprakhorn yang sudah mengutip satu kad kuning.
Bissoli hampir memecah kebuntuan buat Buriram pada minit ke-56 menerusi satu rembatan deras ke arah gawang The Sailors. Malangnya, percubaan beliau dinafikan Izwan.
Rankovic kemudiannya memasukkan penjaring terbanyak Singapura dalam ASEAN Championship 2024, Shawal Anuar untuk mengubah momentum perlawanan.
Kemasukan Shawal pada minit ke-59 tidak dapat menembusi pertahanan Thunder Castle terdiri daripada Cools, Curtis Good dan Theerathon Bunmathan.
Pemain tengah Singapura, Song Ui-young hampir meletakkan The Sailors di hadapan pada minit ke-77. Tandukannya dinafikan Chatchai dengan percubaan susulan beliau tidak mengenai sasaran.
Kedua-dua pasukan saling membalas serangan tetapi keputusan 0-0 kekal sehingga tamat perlawanan.
Keputusan ini menyaksikan Buriram kekal di tangga kedua Kumpulan B dengan tujuh mata. Lion City Sailors pula jatuh ke tangga kelima dengan empat mata.
Selepas ini, Thunder Castle bakal berdepan Nakhon Pathom United pada 26 Januari. The Sailors pula akan berdepan Geylang International pada hari yang sama.