Shopee Cup: AFF Sahkan JDT Tidak Bersalah
MakanBola
Johor Southern Tigers

Konfederasi Bola Sepak ASEAN (AFF) mengesahkan bahawa Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak melakukan sebarang kesalahan berhubung isu penyertaan beberapa pemain yang dikenakan sekatan dalam ASEAN Club Championship Shopee Cup 2025/26.

Menerusi satu surat rasmi bertarikh 14 April 2026, AFF memaklumkan bahawa hasil siasatan menyeluruh yang dijalankan mendapati tiada asas untuk mengambil tindakan terhadap kelab tersebut mahupun pemain yang terlibat.

Menurut AFF, proses semakan itu mengambil masa kerana melibatkan isu kompleks termasuk menunggu keputusan prosiding antarabangsa berkaitan pemain berkenaan bagi memastikan penilaian dibuat secara adil dan seimbang.

“Hasil daripada penilaian menyeluruh terhadap maklumat, dokumen sokongan serta peraturan yang berkaitan, AFF mendapati tiada asas prima facie untuk meneruskan tindakan terhadap kelab atau pemain di bawah Kod Disiplin dan Etika AFF,” jelas kenyataan itu.

Dalam masa sama, AFF turut menegaskan bahawa tiada sebarang dokumen palsu atau dipalsukan dikemukakan oleh JDT sepanjang proses pendaftaran pemain untuk pertandingan tersebut.

Malah, badan induk bola sepak Asia Tenggara itu turut mengesahkan bahawa semua pemain terbabit memegang kewarganegaraan Malaysia ketika didaftarkan, sekali gus tidak melanggar peraturan berkaitan kuota pemain import.

Sehubungan itu, AFF memutuskan bahawa tiada tindakan lanjut akan diambil terhadap JDT dalam kes ini.

AFF dalam kenyataan sama turut menzahirkan komitmen mereka untuk terus memastikan integriti pertandingan terpelihara serta setiap isu ditangani secara telus dan adil mengikut peraturan yang ditetapkan.