Bekas penjaga gol kebangsaan, Azmin Azram Abd Aziz yakin Selangor masih mampu bangkit menjelang aksi final kedua Shopee Cup.
Keyakinan bekas jurulatih penjaga gol Cong An Ha Noi FC (CAHN FC) itu bersandarkan kepada kejayaan Johor Darul Ta’zim (JDT) meraih kemenangan ke atas lawan Selangor, Buriram United dalam aksi separuh akhir kedua kejohanan itu.
Azmin percaya jika juara Piala Malaysia itu mampu mencemaskan Buriram di stadium keramat mereka, Stadium Buriram, tidak mustahil Selangor juga mampu mengulangi perkara sama.
“Macam dalam perlawanan pertama, Buriram memilih untuk bertahan pada separuh masa kedua. Selepas ketinggalan 1-0, Selangor lebih dominan pada separuh masa kedua.
“Tapi kali ini di Buriram, contoh sebenarnya sudah ada di depan mata. Kalau JDT boleh atasi kelebihan dua gol di Buriram, kenapa tidak Selangor?
“Jadi, saya yakin Kim Pan-gon sudah ada perancangan taktikal untuk perlawanan terakhir Selangor musim ini,” katanya semasa menjadi panel program Astro Arena, XI Sebelas Utama.
Meskipun tempang tanpa kehadiran Noor Al-Rawabdeh dan Mohammad Abualnadi, Selangor tetap berazam untuk memberi cabaran hebat kepada Buriram yang juga juara bertahan.
Selangor dan Buriram akan berentap dalam aksi final kedua pada Rabu. Jika berjaya mengatasi pasukan gergasi Thailand itu, Selangor bukan saja akan menjadi wakil Malaysia pertama bergelar juara.
Malah, Selangor turut berpeluang menamatkan kemarau trofi pasukan itu sejak bergelar juara Piala Malaysia pada 2015.