Pengendali Cong An Ha Noi FC (CAHN), Mano Polking gembira dengan impak pemain pertahanan Perancis-Vietnam, Jason Pendant dalam aksi menentang KL City FC.
Aksi terbaru Kumpulan B Shopee Cup di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur menyaksikan Nguyen Quang Hai meletakkan pasukan Vietnam itu hadapan.
The City Boys bangkit mendahului CAHN sehingga rehat separuh masa menerusi Adrijan Rudovic dan penjaring terbanyak sepanjang zaman pasukan itu, Paulo Josue.
Juara V. League 1 2022/23 itu kemudiannya menyumbat dua gol menerusi Bui Hoang Viet Anh dan Le Van Do untuk kemenangan keempat mereka dalam Kumpulan B.
KL City turut dipaksa beraksi dengan sembilan pemain apabila Kamal Azizi Mohamad Zabri dan Josue dilayangkan kad merah.
Polking menyifatkan ketenangan yang dipamerkan Pendant ketika membuat hantaran dari sebelah kiri amat membantu CAHN meraih kemenangan di Cheras.
“Saya fikir Jason Pendant beraksi dengan bagus pada separuh masa kedua dan banyak mengubah perkara dari sebelah kiri pasukan,” kata Polking seperti dilaporkan TheThao247.
“Beliau melakukan hantaran-hantaran dengan tenang dan tepat. Sebelum ini, kita kena letak pemain berkaki kanan beraksi di sebelah kiri.”
Kemenangan ini menyaksikan CAHN muncul pasukan pertama layak ke peringkat separuh akhir Shopee Cup. Ini kerana CAHN kini mengumpul 12 mata selepas empat perlawanan Kumpulan B.
Kualiti yang dimiliki Pendant menyebabkan beliau kini melalui proses dokumentasi agar dapat menjadi pemain warisan Vietnam.
Sekiranya proses berjalan lancar, Pendant atau nama Vietnamnya, Jason Quang Vinh berpeluang menyarung jersi pasukan itu menjelang Mac ini untuk aksi kelayakan Piala Asia 2027.