Advertisement
Shopee Cup: Miroslav Kuljanac Tetap Yakin Dengan Peluang KL City
Asia Tenggara
MakanBola
KL City FC

Jurulatih KL City FC, Miroslav Kuljanac tetap yakin dengan peluang pasukan itu untuk memburu slot separuh akhir Shopee Cup.

Rekod tanpa kalah The City Boys dalam saingan Kumpulan B Shopee Cup musnah apabila tewas 2-0 kepada Lion City Sailors.

Gol dua tonggak import The Sailors, Bailey Wright dan Maxime Lestienne memastikan kelab Singapura itu meraih kemenangan pertama di peringkat kumpulan.

Keadaan ini menyaksikan KL City kini berada di tangga ketiga Kumpulan B dengan enam mata. Mereka dipintas Buriram United yang memiliki kelebihan jaringan selepas menewaskan Borneo FC 4-0.

Pendahulu kumpulan, Cong An Ha Noi (CAHN) pula makin dominan apabila menewaskan wakil Filipina, Kaya FC-Iloilo 2-1. Ini membolehkan anak buah Mano Polking memiliki sembilan mata.

KL City perlu menang baki dua aksi kumpulan jika ingin mara ke peringkat separuh akhir Shopee Cup. Walau bagaimanapun, mereka perlu berhadapan dengan CAHN pada 23 Januari.

Ini disusuli aksi terakhir kumpulan menentang Thunder Castle di Stadium Buriram pada 6 Februari. Meskipun sedar ini bukan tugas mudah buat KL City, Kuljanac tetap yakin dengan kemampuan anak buahnya.

“Memang benar kita akan berdepan dua pasukan yang bagus (dalam dua aksi terakhir Kumpulan B). Kita akan beri yang terbaik,” katanya dalam sidang media pasca-perlawanan semalam.

“Kita perlu lengkapkan kembali kekuatan (pasukan) kita, kita bergelut dan kita kehilangan beberapa tonggak utama.”

KL City kini mengalihkan fokus kepada aksi Liga Super menentang Selangor FC di Stadium MBPJ pada 12 Januari ini.