PSM Makassar berharap dapat memperbaiki rekod buruk mereka di Malaysia apabila bertemu Terengganu FC dalam aksi terbaru Kumpulan A Shopee Cup.
Ini kerana mereka hanya meraih kemenangan sebanyak dua kali, seri sekali dan tewas dua kali bila bertemu wakil negara di peringkat antarabangsa.
Dua kemenangan direkodkan apabila mereka bertemu Kedah Darul Aman FC (KDA FC) pada 2022 dan Sabah FC (2023). Kedua-dua kemenangan ini direkodkan dalam saingan Piala AFC.
Juku Eja menewaskan Sang Kenari 2-1 dalam aksi separuh akhir zon Piala AFC 2022. Sang Badak pula tumpas 3-1 di tangan anak buah Bernardo Tavares dalam aksi peringkat kumpulan Piala AFC 2023/24.
Menariknya, dua kekalahan yang direkodkan Juku Eja menyaksikan mereka dibolosi sebanyak 10 kali. Sabah membelasah pasukan itu 5-0 pada 5 Oktober 2023.
Darren Lok, Stuart Wilkin, Gabriel Peres dan Farhan Roslan mencetak nama sebagai penjaring dalam perlawanan itu.
Satu lagi aksi menyaksikan KL City FC menyingkirkan PSM Makassar 5-2 di peringkat final zon Piala AFC 2022.
Romel Morales, Paulo Josue, Jordan Mintah dan Hadin Azman mencipta nama sebagai penjaring. Yakob Sayuri dan Akbar Tanjung menyumbat gol saguhati buat PSM Makassar.
KL City kemudiannya mara ke final sebelum tewas di tangan kelab Oman, Al-Seeb pada 22 Oktober 2022.
Justeru, Juku Eja berharap situasi sama tidak berulang apabila mereka bertemu Terengganu di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) pada 22 Januari.
Meskipun begitu, mereka bakal berdepan tugas sukar mengekang ancaman empat bintang Peteh diketuai pemain sayap kebangsaan, Safawi Rasid.