Shopee Cup: Selangor Datang Bukan Untuk Bertahan
MakanBola
SELANGOR FC

Selangor FC hadir ke Nam Dinh, Vietnam bukan dengan misi bertahan, sebaliknya membawa tekad untuk terus menyerang demi memburu kejuaraan.

Gergasi Merah bakal membuat perhitungan dengan wakil Vietnam itu dalam aksi final kedua Piala Shopee Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) di Stadium Thien Truong pada Rabu, dalam perlawanan yang dijangka berlangsung sengit dan penuh dramatik.

Selangor turun dengan kelebihan agregat selepas mencatat kemenangan 2-1 ke atas Nam Dinh pada aksi final pertama di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, 6 Mei lalu. Namun, kelebihan tipis itu tidak dianggap cukup selesa oleh ketua jurulatih, Kim Pan-gon.

Pengendali dari Korea Selatan itu menegaskan pasukannya akan terus mengekalkan identiti permainan menyerang meskipun berdepan tekanan beraksi di hadapan penyokong lawan.

Beliau percaya keseimbangan antara disiplin bertahan dan keberanian memburu gol mampu menjadi kunci buat Selangor untuk membawa pulang trofi berprestij itu.

“Kami menjangkakan Nam Dinh akan bermain secara agresif kerana mereka beraksi di laman sendiri. Namun, kami bukan datang untuk bertahan semata-mata. Identiti Selangor FC adalah bermain menyerang. Kelebihan yang ada masih belum cukup selesa, jadi kami mahu mencari sekurang-kurangnya satu lagi gol bagi mengurangkan tekanan.”

“Dari segi pertahanan pula, saya percaya kami memiliki organisasi bertahan yang sangat kuat, sama ada secara individu mahupun berpasukan. Kami mahu menyukarkan mereka untuk mendapatkan gol,” kata Kim Pan-gon ketika sidang media praperlawanan pada Selasa.

Aksi timbal balik final kedua antara Nam Dinh dan Selangor FC dijadual berlangsung pada Rabu, 13 Mei 2026, dengan sepak mula tepat jam 6.30 petang waktu Malaysia.