Legenda bola sepak negara, Datuk Zainal Abidin Hassan menganggap Chrigor Moraes sebagai pembelian terbaik Selangor FC musim ini.
Pandangan itu dibuat beliau apabila diminta menilai impak bekas penyerang Buriram United itu kepada Merah Kuning untuk musim 2025/26.
Zainal Abidin menyifatkan Chrigor mula mempamerkan kehebatan sebagai peledak berkualiti pada pertengahan musim selepas menyesuaikan diri bersama Selangor.
Beliau percaya apabila semua pemain memahami corak permainan masing-masing terutama penyerang Brazil itu, ini memberi ruang kepada Chrigor untuk meledakkan gol-gol penting kepada Selangor.
“Memang di penghujung ataupun pertengahan (musim), kita nampak Chrigor Moraes ini seorang penjaring yang berkualiti. Mungkin mereka belum lagi beradaptasi sesama sendiri (dari segi corak) permainan mereka.
“Tetapi bila sudah mengetahui segala-galanya, pemain sudah kenal sesama sendiri. Dan memang setiap pasukan perlukan (pemain yang mampu menyempurnakan) jaringan sebegini.
“Jadi kita mesti ada seorang pemain sebegini untuk menyudahkan peluang-peluang yang ada. Jadi, beliau telah menjalankan tugas bagi saya dengan baik,” katanya semasa menjadi panel program Astro Arena, XI Sebelas Utama.
Nama Chrigor menjadi sebutan apabila beliau telah menjaringkan 40 gol musim ini. Rekod itu dilakar dalam aksi separuh akhir pertama Shopee Cup menentang Thep Xanh Nam Dinh FC (Nam DInh FC).
Rekod itu menyaksikan Chrigor memintas rekod 39 gol yang dicipta legenda Indonesia, Bambang Pamungkas semasa bersama Selangor pada 2005.