Jurulatih Selangor FC, Kim Pan-gon berazam membantu pasukan itu kembali bangkit pada musim hadapan.
Azam itu dizahirkan bekas jurulatih Harimau Malaya itu selepas Selangor tewas 3-1 secara agregat dalam dua aksi final Shopee Cup.
Meskipun menamatkan kempen musim ini di tempat ketiga Liga Super dan sebagai naib juara Shopee Cup, Pan-gon tetap berpuas hati dengan prestasi yang ditampilkan anak buahnya.
Ini ditambah dengan beliau menyertai Selangor pada pertengahan musim sebagai jurulatih ketiga selepas Katsuhito Kinoshi dan jurulatih interim, Christophe Gamel.
Justeru, Pan-gon mahu menggunakan pencapaian ini sebagai asas buat Merah Kuning bangkit dan tampil lebih cemerlang pada musim 2026/27.
“Saya datang pada pertengahan musim dan apabila kami bermain dalam Shopee Cup, pasukan sentiasa tampil cemerlang. Kami cuba membina ciri-ciri (pasukan) kami dalam pertandingan ini dengan permainan yang dinamik.
“Dalam perlawanan akhir, mereka (Buriram United) lawan yang sangat sukar tetapi kami cuba mengekalkan ciri-ciri kami. Saya agak kecewa kerana kami tidak dapat berada di kedudukan kedua (dalam Liga Super).
“Kami menyemak semula ciri-ciri dan DNA kami dan saya sangat menantikan musim hadapan. Kami akan menjadi sangat kuat. Kami akan mencabar dan kembali ke posisi kami,” katanya seperti dilaporkan ASEAN United.
Angin perubahan dijangka melanda Selangor musim depan terutama membabitkan barisan pemain import. Dua tonggak Jordan, Noor Al-Rawabdeh dan Mohammad Abualnadi telah memberi bayangan bahawa musim 2025/26 merupakan musim terakhir mereka bersam pasukan itu.