Selangor terikat 1-1 dengan wakil dari Thailand, BG Pathum, dalam aksi kelima saingan Shopee Cup musim ini, sekali gus melayakkan The Red Giants ke pusingan seterusnya.
The Red Giants membariskan Kalamullah Al Hafiz di benteng terakhir dengan Faisal Halim sebagai ketua pasukan manakala gandingan Alvin Fortes & Chrigor Moraes mengemudi jentera serangan.
Sementara itu, BG Pathum menurunkan Saranon Anuin di bahagian penjaga gol dan pemain kebangsaan Singapura, Ikhsan Fandi menjadi ayam tambatan pasukan tersebut bagi aksi ini.
Gergasi Merah memulakan perlawanan dengan agresif apabila melancarkan beberapa serangan berbahaya menerusi Faisal Halim dan Chrigor ke kubu wakil Thailand, BG Pathum, hasil dorongan padu penyokong sendiri yang membanjiri stadium. Namun, setiap percubaan yang dihasilkan masih gagal menemui sasaran.
BG Pathum pula tidak ketinggalan memberikan tekanan kepada Selangor melalui gerakan barisan hadapan yang diterajui oleh Ikhsan Fandi dan Chanathip Songkrasin.
Berselang beberapa minit kemudian, Selangor terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Alvin Fortes dilayangkan kad merah susulan terjahan keras terhadap kapten BG Pathum, Kritsada Kaman, pada minit ke-25.
Memasuki minit ke-30, kedudukan masih terikat tanpa jaringan bagi kedua-dua pasukan walaupun masing-masing mempamerkan aksi bertenaga.
Seterusnya, Chrigor Moraes melepaskan satu rembatan kencang, namun ketangkasan penjaga gol BG Pathum, Saranon Anuin, wajar diberi pujian.
Faisal Halim meledak gol pembukaan perlawanan pada minit ke-35 sekali gus mencerahkan peluang The Red Giants untuk mara ke pusingan seterusnya Shopee Cup musim ini.
Jaringan tersebut kekal sehingga tamat separuh masa pertama perlawanan.
Aksi babak pertama berakhir dengan keputusan 1-0 memihak kepada pasukan tuan rumah, Selangor.
Bersambung pada babak kedua, BG Pathum hampir memecah kebuntuan menerusi percubaan berbahaya Tomoyuki Doi, namun usaha tersebut berjaya ditepis dengan cemerlang oleh penjaga gol Selangor, Kalamullah Al-Hafiz.
BG Pathum terus mengasak ke gawang Selangor dalam tempoh yang panjang, menguasai permainan sepenuhnya dan memaksa benteng pertahanan tuan rumah bekerja keras bagi mengekang asakan yang berterusan.
BG Pathum menyamakan kedudukan pada minit ke-63 hasil jaringan sendiri Richmond Ankrah, apabila beliau secara tidak sengaja menampan bola ke dalam gawang sendiri.
Chatmongkol Tongkiri melepaskan satu percubaan berbahaya pada minit ke-68, namun rembatan tersebut hanya singgah di palang gol pasukan The Red Giants.
Ikhsan Fandi hampir menjaringkan gol kedua The Rabbits menerusi tandukan di dalam kotak penalti, namun kecekapan Kalamullah Al-Hafiz berjaya menafikan percubaan itu.
Aksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya berakhir dengan keputusan 1-1, sekali gus memastikan kemaraan pasukan Selangor ke pusingan seterusnya Shopee Cup musim 2025/26 pada Rabu.