Kelibat salah seorang pemain bersama Matt Davies ketika hari pertama sesi latihan Johor Darul Ta’zim (JDT) mencuri perhatian ramai.
JDT memulakan sesi latihan rasmi pada Khamis di Padang Seri Gelam sebagai persiapan awal bagi menghadapi aksi pramusim yang dijangka bakal diadakan di luar negara sebelum saingan Liga Malaysia bermula.
Kerinduan penyokong Harimau Selatan jelas terserlah apabila sesi latihan sulung pasukan menjadi tumpuan ramai dengan ruangan komen dipenuhi peminat yang teruja bagi menyaksikan kelibat pemain kegemaran masing-masing.
“Kembali bekerja bagi menghadapi pramusim dengan semangat dan keinginan yang sama membara,” tulis Johor Southern Tigers.
Peminat bagaimanapun sempat memasang mata terhadap sekeping gambar yang memaparkan kelibat bek kanan JDT, Matt Davies serta sosok pemain yang wajahnya tidak kelihatan jelas semasa kedua-duan mereka menjalani sesi latihan.
“Siapa di hadapan Matt Davies tu?” soal salah seorang peminat bernama Ahmad Zafri di ruangan komen.
Ternyata, kelibat individu terbabit merupakan pemain sayap import, Enzo Lombardo yang tampil dengan penampilan berbeza berbanding musim-musim sebelum ini hingga sempat menimbulkan persoalan dalam kalangan peminat.
Kehadiran Enzo Lombardo dalam sesi latihan pertama pada Khamis seakan memberikan petanda tentang status masa hadapan tonggak dari Perancis ini bersama JDT pada musim hadapan setelah sering dibelenggu isu kecederaan sebelum ini.
Jika masih kekal bersama JDT, Enzo Lombardo perlu mendapatkan nombor jersi baharu selepas ini, memandangkan nombor 7 yang digunakan sebelum ini bakal menjadi milik penyerang baharu, Shahab Zahedi yang diumumkan pada Rabu lalu.