Sinar pemain warisan yang berkelana di Eropah masih menyala buat pengendali Malaysia B-23, Nafuzi Zain.
Pengendali berusia 46 tahun itu dilantik bagi mengemudi skuad muda kebangsaan bagi tahun 2025 menggantikan peranan Juan Torres Garrido yang sudah ke Indonesia.
“Bekas ketua jurulatih Kedah Darul Aman FC, Nafuzi Zain dilantik menjawat jawatan ini bagi memastikan kesinambungan dalam skuad B-23 kebangsaan yang berperanan sebagai pembekal bakat-bakat muda untuk dinaikkan ke skuad senior kebangsaan,” ujar kenyataan FA Malaysia.
Beliau diumumkan bersama-sama pengendali kebangsaan, Peter Cklamovski untuk membentuk era baharu buat pasukan kebangsaan.
“Bekas pengurus FC Tokyo, Peter Cklamovski dari Australia dilantik menggalas tugasan ini selepas beliau dilihat sebagai seorang jurulatih muda yang berkaliber dalam memastikan skuad Harimau Malaya dapat bersaing lebih hebat di pentas antarabangsa.”
Beberapa pemain warisan luar negara termasuklah pemain tempatan yang berkelana di luar negara boleh dipertimbangkan oleh pengendali negara ini dalam misi membentuk acuan terbaik.
Pasukan muda negara masih memiliki kelibat nama-nama seperti Wan Kuzri Wan Kamal yang kini beraksi bersama Akron Zips di Amerika Syarikat.
Bukan itu sahaja, pertahanan kental kacukan Malaysia-England, Richard Chin turut berpotensi dipanggil.
Tonggak berusia 23 tahun itu pernah dipanggil namun mengalami kecederaan pada tahun 2023 selain kini beraksi buat Farnborough di Liga Divisyen 6 England.
Terdapat juga pemain tempatan yang masih berkelana di luar negara seperti Luqman Hakim di KV Kortrijk, Annil Vigneswaran di SV Waldhof Mannheim U21 selain Fergus Tierney di Thailand.
Misi penting Nafuzi Zain adalah untuk memacu kebangkitan Malaysia B-23 pada kempen Kejuaraan B-23 ASEAN 2025, Kelayakan Piala Asia B-23 2026 dan Sukan SEA 2025 di Thailand.